Friday 31 August 2012

MOTO?

'Moto? motor adalah.'... Dia mengeluh.
Antara perkara yang dia tidak suka adalah untuk membuat biodata diri, kenapa?
dia juga tidak tahu akan sebabnya, mungkin sebab dia sendiri belum cukup untuk mengenali siapa sebenarnya dia atau bagaimana orangnya. Kalau biodata itu hanya memerlukan nama alamat atau sesuatu yang sudah nyata, itu tidak mengapa. Tapi bila ditanya tentang moto, hobi dan cita-cita, itu dia tidak suka....
Dia tahu dia seorang yang sukar untuk berpegang dengan pendiriannya. Jika ditanya akan cita-citanya, dia lebih suka untuk meniru cita-cita kawan sedangkan dia ada sesuatu yang diminatinya sendiri. Tapi baginya, apa yang kawan sebutkan itu adalah jawapan yang terbaik. Dia sedar, yang dia selalu merendahkan dirinya sendiri dan terlalu memandang orang lain lebih tinggi daripadanya, sedangkan bukankah manusia itu diciptakan sama?

POSITIF !

Itu yang perlu ada pada dirinya. Dia perlu menjadi manusia yang lebih positif, positif terhadap orang lain dan positif terhadap keadaan dan persekitaran. Bagaimana dia hendak maju jika dia sentiasa berfikiran negatif dan sentiasa tidak percaya kepada dirinya sendiri. Hati pernah memberitahu dirinya yang "tidak ada siapa yang akan percaya diri kau jika kau tidak percaya kepada diri kau sendiri !

Dia tahu yang dia perlu positif dalam semua perkara. Tapi bila situasi realiti menjelma, akalnya bagai tidak berguna. Waktu itu, syaitan bagai berbisik agar dia terus negatif dan percaya bahawa dia tidak akan mampu melakukannya. Semangat positif yang ditanamnya terus tenggelam begitu sahaja. Ah!! kenapa waktu-waktu sebegitu dia tidak mampu berfikiran positif. Tidakkah dia tahu yang jika dia mencuba, semua akan jadi berbeza. Kenapa dia perlu takut dengan semua perkara. Nampak bodoh di depan orang lain itu tidak mengapa. Dari situ kita mampu mengubah diri menjadi lebih baik dan berguna. Buang perasaan takut dan malu yang ada dalam diri kau itu. Kenapa kau perlu malu pada sesama manusia, sedangkan mereka juga melakukan perkara yang sama.

Mulai hari ini, dia perlu menetapkan suatu pendirian.
Selepas ini dia tidak perlu risau untuk menulis biodata diri malah terasa bangga untuk menulisnya.

CITA-CITA : GURU
MATLAMAT HIDUP : TERUS BERUSAHA MENJADI YANG TERBAIK
MOTO : MESTI BERANI MENCUBA

* Dia tidak tahu setakat mana dia akan tetap dengan pendiriannya, kerana dia tahu dia hanya manusia yang sama, yang hanya mampu berubah dalam beberapa jam sahaja. Tapi dia masih boleh berbangga kerana dia tahu dan sedar yang dia PERLU BERUBAH

Tuesday 28 August 2012

Andai Waktu Bisa Diundur...


 Dia duduk termenung. Jiwanya kosong.Di bilik, masih banyak kerja-kerja tertangguh yang perlu disiapkan, dan dia juga tahu sesuatu yang tidak baik akan berlaku jika dia tetap membiarkan kerja-kerja itu begitu. Entah kenapa, sifat malasnya mengatasi segala. Bukan dia tidak mahu buat kerja tersebut, tapi tindakan psikomotor tidak selari dengan apa yang dia fikirkan dan kehendakkan.

MALAS!

Ya, perkataan ini sangat sesuai mungkin untuk dirinya. Semakin difikir, jiwanya semakin runsing. Dan pada waktu-waktu begini, dia mula teringat akan Yang Maha Mencipta. Sesungguhnya hanya kepadaNYA sahajalah tempat mengadu yang paling baik. Dalam diam, dia mula berselawat dan berzikir. Dia tahu bahawa Allah itu MAHA MENDENGAR lagi MAHA PENYAYANG. Allah tidak akan membiarkannya keseorangan. Allah akan sentiasa ada untuknya dikala senang dan susah dan akan sentiasa merancang sesuatu yang baik kepada hambanya, kerana DIA tidak pernah menzalimi hambanya, bahkan, hambanya sendirilah yang menzalimi diri mereka sendiri. Kini dia berasa tenang sedikit. Pada waktu yang sama, fikiran positif mula berbisik, "mungkin itu caranya untuk dia ingat kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa ini, iaitu dengan rasa runsing dijiwa disebabkan kemalasannya". Dia tersenyum, dan dia juga tahu yang itu hanyalah helah si akal untuk menafikan yang Dia memang seorang yang pemalas.

Kini jiwanya berada di kampung. Wajah orang tuanya dengan adik beradiknya yang lain berselang-seli berlegar-legar di minda. Andai saja waktu itu bisa diundur, ingin saja dia kembalikan waktu untuk berada pada minggu lepas. Waktu itu dia pulang ke kampung dengan perasaan yang sangat gembira. Ternyata berada di bumi orang betul-betul menyebabkannya rindu dengan keluarganya di kampung. Cuti raya seminggu baginya adalah tidak cukup. Di kampung jiwanya sungguh tenang. Dia mahukan yang waktu itu kembali dan terus disitu sehingga  dia sendiri yang membenarkan waktu itu untuk pergi. Dia sedar yang itu tidak mungkin terjadi.

Andai saja waktu itu bisa diundur..... dia mahu kembali semula ke zaman sekolah. Dia tahu yang zaman persekolahan adalah zaman yang meletihkan dengan banyaknya kerja rumah dan aktiviti sekolah. Belajar memang penat tapi kini dia tahu yang mengajar itu lebih memenatkan.

Dia mula menghitung hari.... waktunya di sini hanya berbaki 2 bulan sahaja lagi. Dia sedar yang waktu kini bergerak dengan sangat pantas, tapi  dia tidak berjaya memujuk hati yang berdegil mengatakan bahawa 2 bulan itu adalah sangat lama.  Di hujung meja dia ternampak sebatang pensil terletak kemas di dalam kotak. Dia mengambil pensel itu dan mencapai sehelai kertas. Kemudian tangannya ligat bergerak menulis sesuatu diatas kertas.....


-KEPADA HATI-

JANGAN KAU BERSEDIH DUHAI HATI,
MASA YANG BERGERAK INI AKAN BERLALU PERGI,
DIA AKAN MEMBAWA SAMA PERKARA YANG KAU RUNSINGKAN ITU,

KAU PERLU KUAT DUHAI HATI,
TIDAK ADA APA YANG PERLU ENGKAU TAKUTKAN,
TIDAK ADA APA YANG ENGKAU PERLU RISAUKAN,
BUKANKAH ALLAH ITU SENTIASA ADA BERSAMA,
PUJUKLAH DIRIMU UNTUK MENJADI LEBIH RAJIN,
PUJUKLAH IMANMU UNTUK MELAKUKAN SESUATU YANG BAIK,
ENGKAU PASTI BOLEH DUHAI HATI.

Dia meletakkan pensil, kemudian kertas itu dilipat kecil. Dia menarik nafas panjang. Dia masukkan lipatan kertas itu di dalam beg duitnya. Hatinya terdetik "MUNGKIN AKU PERLU BERUBAH !